Saturday, May 31, 2014

AL ALLAMAH AL HAFIZ AS SAYYID AHMAD BIN MUHAMMAD BIN SIDDIQ AL GHUMARI AL HASANI




NAMA, KELAHIRAN DAN NASAB BELIAU:
Beliau adalah Al Allamah Al Hafiz Al Muhaddis An Naqid Mujaddid Ilmil Hadis Al Mujtahid As Sayyid  Abul Faidh Ahmad bin Muhammad bin Siddiq Al Ghumari At Tonji Al Maghribi Al Hasani.
Beliau dilahirkan pada hari Jumaat 17 Ramadhan tahun 1320 hijrah di dalam keluarga yang berketurunan mulia bersambung nasabnya kepada Sayyidina Hasan bin Sayyidina Ali alaihima  as salam. Tempat kelahiran beliau terletak di Qobilah Baniy Sai’d yang merupakan sebuah kampung yang terletak berhampiran dengan Qobilah Ghumarah di bahagian Utara Maghrib.
Bapa beliau Al Imam As Sayyid Muhammad bin Siddiq Al Ghumari (1295- 1354 hijrah) dan kesemua datuk beliau masyhur dengan kewalian dan kesolehan bahkan As Sayyid Muhammad bin Siddiq Al Ghumari juga masyhur dengan keilmuan dan kepakaran ilmu beliau.
Ibu Al Hafiz As Sayyid Ahmad bin Siddiq adalah As Sayyidah Fatimah Az Zahra’ binti As Sayyid Abdul Hafiz bin As Sayyid Ahmad bin Abil Abbas As Sayyid Ahmad bin A’jibah (pengarang kitab I’qozul Himam syarah kitab Hikam ibn Ato’illah). As Sayyid Abdullah bin Siddiq (saudara kandung As Sayyid Ahmad) ketika mana menyifatkan bonda beliau As Sayyidah Fatimah,menaqalkan kata-kata ayahanda beliau bahawa bonda beliau dikurniakan kewalian ketika akhir hayat beliau.

SUASANA PERSEKITARAN KEHIDUPAN BELIAU:
Al Hafiz As Sayyid Ahmad bin Siddiq Al Ghumari dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana persekitaran yang cenderung kepada ilmu dan tarbiah ruhaniah. Tambahan pula, keadaan ayahanda dan bonda beliau yang sememangnya masyhur dengan kesolehan dan keilmuan merupakan antara faktor utama yang mendorong Al Hafiz As Sayyid Ahmad untuk lebih ke hadapan di dalam bidang ilmu.



PENDIDIKAN DAN PENGEMBARAAN BELIAU DALAM MENUNTUT ILMU:
Al Hafiz As Sayyid Ahmad memulakan pendidikan beliau sejak kecil lagi. Ketika berumur 5 tahun, bapa beliau telah mendaftarkan beliau di sebuah Maktab menghafal Al Quran yang mana dikelolai oleh Al Arabiy bin Ahmad Budrah yang merupakan murid kepada bapa As Sayyid Ahmad sendiri.
Selepas tamat menghafal Al Quran, beliau mula menghafal matan-matan ilmiah seperti matan Ajurrumiah dan lain-lain. Setelah itu, beliau mula menyibukkan diri beliau dengan majlis-majlis ilmu di Zawiyah Siddiqiah. Ketika bapa beliau mengarahkan penuntut-penuntut ilmu di Zawiyah Siddiqiah untuk menhafal Al Quran, Al Hafiz As Sayyid Ahmad telah menulis sebuah kitab yang bernama Riyadut Tanzih fi Fadhlil Quran wa Hamiliih yang mana merupakan kitab pertama beliau yang selesai dikarang ketika umur beliau belum lagi menjangkau 20 tahun. Beliau juga banyak menghadiri majlis-majlis pembacaan kitab-kitab hadis seperti kitab At Targhib wat Tarhib dan Al Jamis Soghir maa’ Syarhil Munawi.



Pada bulan Jamadil Akhir tahun 1339 hijrah, bapa beliau telah menghantar As Sayyid Ahmad ke Mesir untuk meneruskan rehlah ilmiah beliau di sana. Hal ini adalah kerana Bumi Mesir merupakan tempat yang masyhur dalam kalangan penuntut ilmu dengan kemakmuran Al Azhar As Syarif dan barisan ulama’ yang senantiasa sibuk dengan majlis-majlis ilmu dan tarbiah rohani. Antara para ulama’ yang menjadi tempat As Sayyid Ahmad menadah ilmu adalah Syeikh Muhammad bin Ibrahim As Samaluti, Syeikh Muhammad Bakhit Al Muti’i, Syeikh Yaasin Al Jundi dan Syeikh Muhammad Imam bin Ibrahim As Saqo.
 As Sayyid Ahmad menuntut pelbagai bidang ilmu agama daripada masyayikh beliau. Beliau telah membaca di hadapan guru beliau Syeikh Muhammad Imam bin Ibrahim As Saqo  Matan Ajurrumiah bisyarh Al Kafrawi, Syarh Ibn Aqil dan Syarh Asymuni ala Alfiah Ibn Malik, As Sulam bi syarh Al Baijuri, Jauharatut Tauhid, Sayrhut Tahrir oleh Syeikhul Islam Zakariyya Ansori dalam Fiqh Syafi’i, Musnad Imam Syafi’I, Thuluthiyat Al Bukhori,dan Adab Mufrod. As Sayyid Ahmad juga banyak mendengar hadis-hadis musalsalah daripada beliau seperti Musalsal bil Awwaliah, Musalsal Asyura dengan syaratnya, Musalsal bil Rahmah dan banyak lagi.
 Beliau juga turut membaca di hadapan Syeikh Muhammad Bakhit Al Muti’I Sohih Imam Bukhori, Syarhul Isnawi ala Minhajil Baidhowi dalam ilmu usul fiqh, Syarhul Hidayah dalam Fiqh Hanafi.
As Sayyid Ahmad juga telah membaca kitab-kitab yang lain seperti Muwatto’ Imam Malik, Tafsir Al BAidhowi, Mukhtasor Kholil bisyarh Ad Dardir, Hasyiah Ad Dusuqi, At Tahzib fil Mantiq oleh Sa’duddin At Taftazani daripada para masyayikh beliau sepanjang keberadaan beliau di tanah Mesir.
Pada bulan Sya’ban tahun 1341 hijrah, As Sayyid Ahmad mengambil keputusan untuk pulang ke tanah air beliau bumi Maghrib. Perjalanan ilmiah beliau diteruskan lagi di kota-kota yang terdapat di bumi Maghrib seperti Kota Fes, Kota Jadidah, dan Kota Ribat. Beliau telah mendengar daripada Syeikh Abul Abbas Ahmad bin Al Khoyyat, Syeikh Abul Abbas Al Mahdiy Al Wizani (tokoh fiqh di Maghrib), Al Muhaddis Abu Abdillah Muhammad bin Idris Al Qodiri, Syeikh Fathullah bin Abi Bakr Al Bannani (seorang ulama’ sufi), Syeikh Abu Abdillah Muhammad Al Makkiy Al Batowariy dan Syeikh As Sayyid Abdul Hayy Al Kittaniy dan kesemua ulama’ tersebut telah memberikan ijazah ilmiah kepada As Sayyid Ahmad.
Pada bulan Rabi’ul Awwal tahun 1343 hijrah, As Sayyid Ahmad sekali lagi mengorak langkah rehlah ilmiah beliau ke bumi Mesir dan kedatangan beliau kali ini adalah untuk menyambung semula pengajian ilmu beliau yang telah pun beliau mulakan sebelum itu. Beliau juga lebih memberi penekanan terhadap periwayatan dan pengijazahan hadis-hadis. Antara para masyayikh beliau pada rehlah kali ini ialah Syeikh Abdul Maqsud bin Abdul Kholiq, Syeikh Umar Hamdan Al Mahrisi, Syeikh Muhammad bin Salim As Syarqowi An Najdiy, Syeikh Ahmad bin Rofi’ At Tohtowi dan ramai lagi.
Ketika keberadaan As Sayyid Ahmad di bumi Mesir, beliau turut mengembara ke bumi Damsyiq pada tahun 1344 hijrah dengan bertujuan mendalami bidang takhrij hadisyang mana ketika itu beliau sedang sibuk menghasilkan sebuah kitab takhrij hadis ala Musnad As Syihab. Sepanjang berada di sana As Sayyid Ahmad mengambil kesempatan menghadiri majlis-majlis ilmu yang diadakan di sana yang turut dihadiri oleh Syeikh As Sayyid Muhammad bin Ja’far Al Kittaniy, Syeikh Badruddin bin Yusuf Al Maghribi (tokoh ulama’ Syam), Syeikh Muhammad Sai’d bin Ahmad Al Farro Ad Dimasyqi, Syeikh Abu Muhammad Solih bin Mustofa Al Amadiy Ad Dimasyqi Al Hanafi, Syeikh Abu Muhammad Abdul Karim bin Muhammad Al Hamzawi Al Husaini Ad Dimasyqi, Syeikh Abut Tayaqqun Muhammad Taufiq bin Muhammad Al Ayyubi Al Ansori Ad Dimqsyqi dan lain-lain.

Setelah itu As Sayyid Ahmad meneruskan lagi pengembaraan beliau ke bumi Beirut pada tahun yang sama. Beliau telah berhasil mendapat ijazah ilmiah daripada ramai ulama’ di sana seperti Al Allamah Al Faqih Muhammad bin Ahmad Al Jazairi As Syami, Syeikh Abu Khalil Muhammad Taufiq bin Muhammad Al Kholwati Al Biruti, dan Syeikh Abdul Qodir bin Mustofa Al Biruti.
Setelah itu beliau pulang ke bumi Mesir di Kota Al Qohirah untuk meneruskan dan menyempurnakan lagi kepakaran dan kemahiran beliau dalam ilmu hadis. Beliau memutuskan hubungan beliau dengan perkara-perkara selain ilmu dan menyibukkan diri beliau dengan mentalaah ilmu dan memberi tumpuan yang lebih terhadap hafalan hadis penulisan hadis dan takhrij hadis dan keadaan ini berterusan sehinggalah  2 tahun berlalu.
Pada bulan Muharram tahun 1345 hijrah, As Sayyid Ahmad pulang ke tanah air beliau bersama-sama ayahanda beliau. Ketika berada di bumi Maghrib beliau menyibukkan diri beliau dengan ilmu hadis menghafal, mentelaah kitab-kitab hadis dan menghasilkan karya-karya hadis.
Pada tanggal 20 Sya’ban tahun 1349 hijrah, As Sayyid Ahmad telah mengembara ke bumi Mesir untuk kali yang ketiga dan kedatangannya kali ini adalah bertujuan mendapatkan kitab-kitab dan makhtutot hadis. Di samping itu, dua orang saudara kandungnya As Sayyid Abdullah dan As Sayyid Az Zamzami juga turut bersama-sama beliau untuk tujuan ilmu di Kota Al Qohirah. Sepanjang keberadaan beliau di bumi Mesir, selain sibuk mentelaah ilmu beliau juga sibuk menghasilkan hasil-hasil karya ilmiah. Beliau turut diziarahi oleh sebahagian besar ulama’ azhar oleh kerana kemahiran dan kepakaran ilmu beliau di usia beliau yang masih muda. Selain mengambil manfaat daripada As Sayyid Ahmad dengan menziarahi beliau, mereka juga turut meminta untuk membaca Fathul Bari syarh Sohih Imam Bukhori secara ‘sardan’ di hadapan As Sayyid Ahmad bahkan mereka juga meminta daripada As Sayyid Ahmad untuk mensyarahkan Muqoddimah Ibn Solah dalam bidang ulum hadis.
Sayyid Ahmad juga menggunakan kesempatan ketika menunaikan haji di tanah suci pada tahun 1356, 1368 dan 1373 hijrah untuk mengambil ijazah ilmiah dan mendengar hadis-hadis musalsalah daripada masyayikh yang turut berada di sana. Antara ulama’ yang sempat Sayyid Ahmad menadah ilmu daripada mereka ialah Syeikh Sayyid Ai’drus bin Salim bin Ai’drus Al Husaini Al Hadromi Al Makki, Al Allamah Al Ma’quliy U’baidullah bin Al Islam As Sundiy Al Hindi Al Makki, Syeikh Abdul Qodir Syilbi As Syamiy At Torobulsi Al Madani, Al Muhaddis Abdul Baqi bin Ali Al Ansori Al Ayyubi Al Laknawi Al Madani.

SUMBANGAN ILMIAH BELIAU:
Sayyid Ahmad telah pun mula meyumbang dalam dunia Islam sejak di usia muda lagi apabila beliau telah berjaya menghasilkan dua buah kitab yang bertajuk Tanwirul Halbub fi Takfiriz Zunub dan Riyadhut Tanzih fi Fadhlil Quran wa Hamiliih ketika umur beliau belum lagi menjangkau 18 tahun.
Beliau juga telah menghasilkan sebuah kitab takhrij hadis bagi kitab Musnad As Syihab yang dikarang oleh Al Qodho’i. Kitab  tersebut disempurnakan ketika beliau masih lagi dalam tempoh pembelajaran. Kitab tersebut dikarang dalam 2 jilid dan diberi nama Maniayyatut Tullab fi Takhrij Ahadis As Syihab.
Ketika di awal pengembaraan beliau ke Kota Al Qohirah, Sayyid Ahmad telah pun menghasilkan sejumlah besar kitab-kitab karangan seperti Nailuz Zulfah bi Takhrij Ahadis At Tuhfah Al Mardhiah dan Daf’ur Rojzi bi Ikromil Khubzi (sebuah kitab yang beliau karang mengenai turuq periwayatan hadis Akrimul Khubza).
 Setelah mendengar Hadis Musalsal Asyura’ beserta dengan syaratnya Sayyid Ahmad menulis sebuah risalah yang bertajuk Lubbul Akhbaril Ma’thurah fima Yataa’llaqu bi Yaumi Asyura’. Hasil-hasil penulisan Sayyid Ahmad senantiasa bertambah dari semasa ke semasa bahkan selain mengarang kitab beliau juga menyemak dan mentahqiq kitab-kitab yang dikarang oleh sebahagian ulama’.
Ketika kedatangan beliau buat kali kedua ke bumi Mesir, beliau telah mendapat kepercayaan daripada sebahagian ulama’ untuk mengadakan majlis pengajian hadis. Hal ini adalah kerana kecerdikan dan kebijaksanaan yang dimiliki oleh Sayyid Ahmad di dalam bidang tersebut. Sayyid Ahmad memulakan pengajian beliau dengan malis pembacaan kitab Fathul Bari fi syarh Sohih Imam Bukhori dan kitab Tadribur Rowi.
Ketika kedatangan Sayyid Ahmad ke Mesir buat kali yang ketiga pula, sebahagian penuntut ilmu di Al Azhar As Syarif telah meminta daripada beliau untuk mengadakan majlis pengajian ulumul hadis. Maka Sayyid Ahmad bersetuju untuk mengajar kitab Muqoddimah Ibn Solah sehinggalah khatam kemudian diteruskan dengan kitab An Nukhbah oleh Al Hafiz Ibn Hajar sehingga khatam, beliau juga turut mengajarkan kitab Nailul Awtar oleh Imam As Syaukani.
Adapun ketika berada di bumi Maghrib, Sayyid Ahmad telah mengadakan majlis pengajian kitab Syamail Muhammadiah dan Al Ajurrumiah di Zawiyah Siddiqiah di Kota Tonjah. Beliau juga turut mengadakan majlis pembacaan kitab Muntaqal Akhbar bisyarhihi Nailul Awtar, dan setelah kewafatan ayahanda beliau, Sayyid Ahmad mengadakan majlis pembacaan kitab Sohih Muslim dan Sunan At Tirmizi di Al Jami’ Al Kabir di Kota Tonjah.
Sayyid Ahmad turut mengadakan majlis imla’ hadis ketika berada di bumi Mesir dan Maghrib  yang mana ia diadakan di Masjid Sayyidina Husain di Kota Al Qohirah dan di Zawiyah Siddiqiah di Kota Tonjah.



BARISAN MASYAYIKH (GURU-GURU) BELIAU:
Adalah merupakan sebuah anugerah dan nikmat yang terlalu bernilai bagi para penuntut ilmu untuk berkhidmat, bermulazamah dan bersama-sama para ulama’ dan  para solihin yang masyhur dengan keluhuran peribadi ketinggian akhlak dan keluasan ilmu mereka.
Sayyid Ahmad mengambil peluang tersebut untuk lebih memajukan diri beliau dalam medan ilmu. Kesungguhan dan ketinggian himmah serta kebijaksanaan beliau dalam memahami ilmu dan menguasai sesuatu permasalahan amat menarik perhatian para masyayikh beliau.
Kejuhudan beliau dalam pencarian ilmu dapat dilihat jelas daripada pengembaraan beliau ke sesebuah negara yang hanya bertujuan mencari kenikmatan untuk bersama-sama para ulama’ dan kelazatan memahami sesuatu ilmu.
Sayyid Ahmad mempunyai seramai 110 orang para masyayikh dari serata negara seperti Mesir, Syam, Maghribi, Mekah, Madinah, Yaman, Tunisia, India, Algeria, Afghanistan, Iran dan Istanbul  seperti mana yang dicatatkan dalam juzuk pertama terjemahan milik beliau yang bertajuk Al Bahrul A’miq fi Marwiyat ibn Siddiq. Antara perkara menarik yang dapat dikongsikan ialah terdapat 7 orang daripada masyayikh Sayyid Ahmad terdiri daripada golongan wanita (syeikhat) yang masyhur dengan sifat kemuliaan dan kesolehan mereka.


ANTARA MASYAYIKH BELIAU KETIKA DI MESIR:
1. Syeikh Muhammad bin Ibrahim As Samaluti
2. Syeikh Muhammad Bakhit Al Muti’i
3. Syeikh Yaasin Al Jundi
4. Syeikh Muhammad Imam As Saqo As Syafie
5. Syeikh Abdul Maqsud bin Abdul Kholiq
 6. Syeikh Muhammad bin Salim As Syarqowi An Najdiy
 7. Syeikh Ahmad bin Rofi’ At Tohtowi
ANTARA MASYAYIKH BELIAU KETIKA DI MAGHRIB:
1. Ayahanda beliau Al Imam Al Wari’ As Sayyid Muhammad bin Siddiq Al Ghumari Al Hasani
2. Syeikh Abul Abbas Ahmad bin Al Khoyyat
3. Syeikh Abul Abbas Al Mahdiy Al Wizani (tokoh fiqh di Maghrib)
4. Al Muhaddis Abu Abdillah Muhammad bin Idris Al Qodiri
5. Syeikh Fathullah bin Abi Bakr Al Bannani (seorang ulama’ sufi)
6. Syeikh Abu Abdillah Muhammad Al Makkiy Al Batowariy
 7. Syeikh As Sayyid Abdul Hayy Al Kittaniy
MASYAYIKH BELIAU KETIKA DI DAMSYIQ:
1. Syeikh As Sayyid Muhammad bin Ja’far Al Kittaniy
2. Syeikh Badruddin bin Yusuf Al Maghribi (tokoh ulama’ Syam)
3. Syeikh Muhammad Sai’d bin Ahmad Al Farro Ad Dimasyqi
4. Syeikh Abu Muhammad Solih bin Mustofa Al Amadiy Ad Dimasyqi Al Hanafi
5. Syeikh Abu Muhammad Abdul Karim bin Muhammad Al Hamzawi Al Husaini Ad Dimasyqi
6. Syeikh Abut Tayaqqun Muhammad Taufiq bin Muhammad Al Ayyubi Al Ansori Ad Dimaqsyqi
MASYAYIKH BELIAU KETIKA DI BEIRUT:
1. Al Allamah Al Faqih Muhammad bin Ahmad Al Jazairi As Syami
2. Syeikh Abu Khalil Muhammad Taufiq bin Muhammad Al Kholwati Al Biruti
3. Syeikh Abdul Qodir bin Mustofa Al Biruti




MASYAYIKH BELIAU KETIKA DI TANAH SUCI:
1. Syeikh Sayyid Ai’drus bin Salim bin Ai’drus Al Husaini Al Hadromi Al Makki
2. Al Allamah Al Ma’quliy U’baidullah bin Al Islam As Sundiy Al Hindi Al Makki
3. Syeikh Abdul Qodir Syilbi As Syamiy At Torobulsi Al Madani
4. Al Muhaddis Abdul Baqi bin Ali Al Ansori Al Ayyubi Al Laknawi Al Madani.
5. Al Allamah Muhaddisul Haromain Umar Hamdan Al Mahrisi
Selain masyayikh-masyayikh yang disebutkan di atas Sayyid Ahmad juga sempat menadah ilmu daripada Al Allamah Sayyid Muhammad bin Zubarah Al Hasani As Sona’ni, Al Musnid Al Qodhi Abu Muhammad Abdul Hafiz bin Muhammad At Tohiri, Al Musnid As Syeikh Muhammad Roghib At Tobbakh, As Syeikh Muhammad Zahid Al Kautsariy, As Syeikh Yusuf bin Ismail An Nubhaniy, Al Musnid Abdul Wasi’ bin Yahya Al Wasi’iy As Sona’ni.
Untuk mendapatkan lebih faedah dan manfaat di sini disebutkan sedikit sebanyak manaqib beberapa orang masyayikh Sayyid Ahmad secara ringkas.

As Sayyid Muhammad bin Siddiq Al Ghumari Al Hasani
Beliau adalah Al Allamah Al Waliy Al Masyhur Al Imam Al Wari’ Bahrul Ulum wal Maa’rif As Sayyid Muhammad bin Muhammad As Siddiq bin Ahmad bin Muhammad Qosim Al Ghumari Al Hasani bersambung silsilah nasab beliau kepada Sayyidi Idris Al Akbar Fatihul Maghrib bin Sayyidi Al Imam Abdullah Kamil bin Sayyidi Hasan Al Musthanna bin Sayyidi Hasan bin Sayyidina Ali radiallahu a’nhum wa alaihimus salam.
 Beliau merupakan seorang a’lim yang masyhur dilahirkan pada tahun 1295 hijrah dikurniakan keistimewaan dengan keluasan ilmu serta keluhuran akhlak dan kemurnian rohani bahkan juga seorang bapa yang senantiasa perihatin dalam mendidik dan mentarbiah anak-anaknya maka tidak hairanlah beliau merupakan guru yang paling banyak Sayyid Ahmad mengambil istifadah.
 Apabila beliau berkata-kata tentang sesuatu ilmu, maka seakan-akan beliau hanya menguasai ilmu itu sahaja dan apabila beliau ditanya tentang sesuatu permasalahan, maka beliau akan menjawab pertanyaan tersebut secara spontan dengan jawapan yang membuatkan orang yang bertanya terkedu dengan kehebatan beliau mengukuhkan hujah dengan dalil dan syawahid yang banyak.
Diriwayatkan oleh anakan beliau Sayyid Abdullah, bahawa ketika beliau memulakan pengajian Tafsir Al Quran di Zawiyah Siddiqiah, beliau mengambil masa selama satu minggu hanya untuk mensyarahkan ayat إياك نعبد و إياك نستعين . Syarahan dan huraian beliau terhadap tafsiran ayat tersebut membuatkan para pendengar terpesona dengan kehebatan beliau.
 Beliau dianugerahkan oleh Allah Taa’la dengan bermacam-macam jenis karamah. Sebahagian daripada akhbar dan ahwal beliau dikumpulkan oleh anakanda beliau Sayyid Ahmad dalam sebuah kitab yang di beri tajuk Nubzatut Tahqiq dan juga At Tasawwur wat Tasdiq bi Akhbaris Syeikh Sayyidi Muhammad bin Siddiq. Beliau kemudiannya wafat pada tahun 1354 hijrah.


Syeikh Muhammad Bakhit Al Muti’I Al Hanafi Al Azhari
Beliau adalah Allamatul A’sr Al Faqih Al Mufassir Al Usuli Al Mutakallim Syeikhu Ulama’ Misr wa Mafkharatuha Mufi Ad Diyar Al Misriah As Syeikh Muhammad Bakhit bin Husain Al Muti’I Al Hanafi As Soidi.
Beliau dilahirkan pada bulan Muharram tahun 1271 hijrah seperti mana yang telah disepakati oleh para sejarawan akan tetapi mengikut pandangan Sayyid Ahmad yang dinaqalkan daripada sebahgian ulama’ Al Azhar beliau dilahirkan pada tahun 1254 hijrah. Beliau berasal daripada sebuah keluarga yang menetap di kawasan perkampungan  bernama Al Qoti’ah yang terletak di daerah Soi’d, Mesir.
 Beliau mula menghafal al quran mempelajari penulisan dan pembacaan ketika usia beliau belum lagi menjangkau 4 tahun. Antara nasihat beliau terhadap penuntut ilmu ialah “Kamu hendaklah menjaga 3 perkara yang mana dengannya aku akan menjamin kejayaan dalam menuntut ilmu dan kekayaan; yang pertama, tuntutlah ilmu kerana Allah, yang kedua, jangan tinggalkan solat dan yang ketiga, yakinlah dengan para auliya’ dan ahli-ali sufi ”
Antara para masyayikh beliau adalah Syeikh Muhammad U’laisy Al Faqih Al Maliki, Syeikh Abdul Rahman As Syarbini, Syeikh Abdul Rahman Al Bahrawi, Syeikh Ahmad bin Mahjub Al Fayyumi Al Rifa’I, Al Muhaddis Muhammad bin Ja’far Al Kittani, Al Mufti At Tohir bin A’syur At Tunisi, dan Al Musnid Abdul Hayy Al Kittani.
Antara murid-murid beliau yang menjadi ulama yang masyhur pada zamannya adalah Al Hafiz Sayyid Ahmad bin Siddiq, Musnidul A’sr Syeikh Yasin Al Fadani, dan Syeikh Muhammad Al A’rabiy Al A’zuzi.
Beliau telah menghasilkan sebanyak 29 hasil karangan sepanjang hayat beliau dan daripada hasil-hasil penulisan beliau, dapat dilihat kepakaran dan kemahiran beliau dalam ilmu fiqh wa usuluhu. Sayyid Ahmad pernah menyatakan bahawa beliau merupakan seorang yang a’lim dalam pelbagai bidang ilmu kecuali ilmu hadis.
Beliau dijemput ke hadrat Ilahi pada tanggal 21 Rejab tahun 1354 hijrah bersamaan dengan 8 Oktober tahun 1935 masihi.

Al Allamah As Syeikh Umar Hamdan Al Mahrisi At Tunisi
Beliau adalah Al Allamah Muhaddisul Haramain Abu Hafs wa abu Malik Umar bin Hamdan Al Mahrisi At Tunisi. Beliau dilahirkan di Mahrus sebuah pekan yang terletak di Tunisia.
Ketika berumur 11 tahun beliau berhijrah ke Al Madinah Al Munawwarah bersama-sama ayahandanya dan mula menuntut ilmu daripada para ulama’ terkemuka di halaqah-halaqah pengajian mereka di Madinah ketika itu.
Syeikh Umar Hamdan merupakan seorang a’lim yang pakar dalam dua bidang ilmu iaitu ilmu Nahu dan ilmu Balaghah sehinggakan beliau pernah berkata “Aku adalah Mujtahid Mutlak di dalam ilmu Nahu dan Balaghah.” Beliau juga merupakan salah seorang tenaga pengajar di Masjidil Haram dan di  Madrasah As Soulatiah.

Syeikh Umar Hamdan juga amat menitikberatkan pengajian hadis bahkan beliau sendiri pernah mengkhatamkan Kutub Sittah beberapa kali. Disebabkan kecenderungan dan juga kepakaran beliau di dalam bidang hadis, beliau diberi gelaran “Muhaddisul Haramain.”
Antara keistimewaan Syeikh Umar Hmadan adalah beliau mempunyai suara yang lantang sehingga dikatakan apabila beliau mengajar di Masjidil Haram maka suara beliau akan kedengaran sehingga di pintu As Salam.
Hal ini adalah seperti mana yang diceritakan oleh Sayyid Ahmad sendiri tentang pengalaman beliau bersama-sama dengan Syeikh Umar Hamdan ketika berada di Mesir apabila telah terjadi sedikit pertelingkahan ilmiah antara beliau dengan Sayyid Ahmad lalu Syeikh Umar Hamdan bercakap dengan suara yang keras sehingga semua orang yang berada di sepanjang jalan memandang ke arah mereka.
Antara para masyayikh beliau adalah Syeikh Sayyid Ahmad bin Ismail Al Barzanji, Syeikh Falih bin Muhammad Az Zohiri Al Madani, Syeikh Sayyid Ali bin Zohir Al Witri Al Madani, Syeikh Sayyid Husain bin Muhammad Al Habsyi Al Makki, Syeikh Sayyid Muhammad bin Ja’far Al Kittani, Syeikh Abdullah bin A’udah Al Qoddumi An Nabulisi, Syeikh Sayyid Abdul Qadir At Torobulsi Al Madani dan Syeikh Muhammad Abun Nasr bin Abdul Qodir Al Khotib Ad Dimasyqi.
Beliau dijemput ke hadrat Ilahi pada tanggal 9 Syawal 1368 hijrah dan dikebumikan di Madinatur Rasul Al Munawwarah.

BARISAN TALAMIZ (MURID-MURID) BELIAU
Keperihatinan Sayyid Ahmad terhadap murid-murid beliau dalam menyampaikan ilmu dan mendidik rohani telah berjaya melahirkan ramai ilmuan Islam yang tersohor pada zaman ini. Antara barisan murid beliau yang masyhur mewarisi kepakaran ilmu Sayyid Ahmad adalah dalam kalangan adik beradik beliau sendiri yang terdiri daripada Al Allamah As Sayyid Abdullah, Al Muhaddith Sayyid Abdul Aziz, As Sayyid Muhammad Az Zamzami, As Sayyid Abdul Hayy, dan As Sayyid Ibrahim. Selain adik-beradik beliau sendiri, kepakaran dan kemahiran ilmu beliau turut diwarisi oleh murid-muridnya yang hampir seperti Sayyid Abdullah bin Abdul Qodir At Talidi, Sayyid Muhammad Al Muntasir Al Kittani, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan ramai lagi. Untuk mendapatkan lebih faedah dan manfaat di sini disebutkan sedikit sebanyak manaqib beberapa orang talamiz Sayyid Ahmad secara ringkas.

Al Allamah As Sayyid Abdullah bin Muhammad bin Siddiq Al Ghumari
Nama beliau adalah Abul Fadhl Sayyid Abdullah bin Muhammad As-Siddiq bin Ahmad bin Muhammad bin Qasim bin Muhammad bin Abdul Mukmin Al-Hasani Al-Idrisi Al-Mukmini Al-Ghumari At-Thonji .
Beliau merupakan seorang Allamah yang menghimpunkan kepakaran dalam ilmu Manqul dan ilmu Ma’qul  .Beliau juga seorang Muhaddith hebat yang mahir dalam pelbagai bidang- bidang berkaitan ilmu hadis Riwayah dan Dirayah.
Beliau dilahirkan di Kota Tonjah, Maghribi ( Negara Morokko ) pada waktu Maghrib di awal Bulan Rejab pada tahun 1328 Hijrah. Beliau dimuliakan dengan nasab keturunan yang bersambung dengan Imam Hasan Bin Ali Bin Abi Tolib Alaihimussalam , yang diwarisi daripada kedua belah nasab ibubapanya.
Beliau membesar di bawah pemerhatian ayahandanya yang merupakan seorang Wali ALLAH yang amat terkenal di Negara Maghribi. Sejak kecil lagi,  Beliau telah menghafaz Al-Quran dengan riwayat Imam warsy, kemudian riwayat Imam Hafs, dan menguasai penulisannya. Kemudian beliau mula menghafaz matan-matan ilmu asas  seperti Matan Al-Ajurrumiah dan Alfiah Ibnu Malik dalam bidang nahu, Muhktasar Kholil dalam bidang feqh Maliki, Arba’in Nawawiah dan Bulughul Muram dalam bidang hadith dan Jawahir Maknun dalm bidang balaghah.
Di dalam kesibukan beliau mengajar dan belajar di dalam kuliah ayahandanya nya, beliau telah mampu menghasilkan karangan beliau yang pertama iaitu kitab yang  mensyarahkan matan Al-Ajurrumiah yang dinamakan oleh kekanda sulung beliau: Al-Hafiz Al-Mujtahid Sayyid Ahmad Bin Siddiq Al-Ghumari dengan nama : تشييد المباني لتوضيح ما حوته المقدمة الآجرمية من الحقائق و المعاني. . Kitab ini dikarang oleh beliau ketika umur beliau  dikarang ketika beliau berusia 21 tahun.
Pada tahun 1350 Hijrah ,beliau menduduki Imtihan Al- Alamiah lil Ghuraba’ yang mana di dalam imtihan tersebut mencakupi 12 jenis cabang ilmu. Beliau memperolehi keputusan yang amat cemerlang di dalam peperiksaan tersebut. Selepas memperolehi kejayaaan dalam dalam imtihan tersebut, beliau menziarahi  Syeikh Mahmood Syaltut yang merupakan Syeikhul Azhar ketika itu di rumahnya. Ramai ulama yang berada bersama Syeikh Mahmud Syaltut ketika itu mengucapkan tahniah di atas kecemerlangan beliau dalam imtihan itu. Begitu juga dengan syeikh Mahmud Syaltut, beliau menyatakan kepada para ulama yang berada disamping beliau ketika itu:  “Sepatutnya Kami mengucapkan tahniah kepada imtihan Azhar tersebut kerana diambil oleh Sayid Abdullah Bin Siddiq”.
Setelah itu, Sayid Abdullah mendapat kepercayaan daripada ulama Azhar untuk membuka pengajian di Jami’ Al- Azhar . Antara kitab-kitab yang diajar oleh beliau ketika itu adalah :Hasyiah Al-Makudi ala alfiah ibnu malik ( kitab Nahu ) , Jauhar Al- Maknun fil Balaghah, Matan As- Sulam fil mantiq, dan Tafsir An- Nasafi.
Antara barisan murid beliau yang mewarisi ilmu Sayyid Abdullah adalah dalam kalangan adik beradik beliau sendiri yang terdiri daripada Al Muhaddith Sayyid Abdul Aziz, Sayyid Abdul Hayy dan Sayyid Ibrahim. Selain adik-beradik beliau sendiri, ilmu beliau turut diwarisi oleh murid-muridnya yang hampir seperti Syeikh Mahmud Sai’d Mamduh As Syafie, Professor Dr. Farouq Hammadah, Sayyid Muntasir Al Kittani, Syeikh Soleh Al Ja’fariy, Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah dan ramai lagi para ilmuan yang tersohor di dunia Islam.
Kehidupan Al Hafiz Sayyid Abdullah bin Muhammad As-Siddiq Al Ghumari berakhir pada hari Khamis tanggal 19 Sya’ban 1413 Hijrah bersamaan dengan 11 Februari 1993. Pemergian beliau ke hadrat Ilahi ditangisi oleh ummat Islam seluruh dunia setelah 85 tahun khidmat beliau dan pengorbanan beliau yang terlalu agung dalam dunia ilmu Islam. Jenazah beliau disembahyangkan oleh barisan ulama’ dan para pencinta beliau di Al Jami’ Al Kabir di Kota Tonjah. Sayyid Abdullah dikebumikan bersebelahan pusara ayahanda dan bonda beliau di Zawiyyah Siddiqiah, Kota Tonjah. Semoga Allah Taa’la melimpahi beliau dengan rahmat dan keberkatan yang tidak terkira atas pengorbanan hidupnya untuk kepentingan ummah.


Al Muhaddis As Sayyid Abdul Aziz bin Muhammad Bin Siddiq Al Ghumari                                                                                

Beliau adalah Al-‘Alamah Al-Muhaddis Al-Mufid An-Naqid  As-Sufi As-Sayyid Abdul Aziz bin Muhammad Bin As-Siddiq Bin Ahmad Bin Abdul Mukmin Al-Ghumari Al-Idrisi  Al-Hasani. Beliau dilahirkan di Kota Tonja, Morocco pada bulan Jamadil Awwal tahun 1338 hijrah.
As-Sayyid Abdul Aziz bin Siddiq Al-Ghumari adalah merupakan seorang pakar hadis yang hebat di zamannya. Beliau merupakan salah seorang jaguh ilmuan yang terhasil daripada Madrasah As-Siddiqiah Al-Ghumariah.
Pada tahun 1355 hijrah, beliau telah memilih untuk menjadikan Perlembahan Nil Kota Kaherah, Mesir sebagai salah satu destinasi pengembaraan ilmu beliau. Di sana beliau telah melanjutkan pengajiannya di Universiti kedua tertua di dunia iaitu Universiti Al-Azhar As-Syarif, Kaherah. Di sana beliau banyak mengutip permata-permata ilmu daripada dada para ulama Al-Azhar antaranya As-Syeikh Abdul Mu’ti As-Syarmisi (beliau merupakan ulama besar di Al-Azhar ketika itu), As-Syeikh Mahmud Imam Al-Mansuri ,As-Syeikh Abdus Salam Ghanim  Ad-Dimyati As-Syafie (Sayyid Abdul Aziz banyak mengabil faedah daripada beliau), As-Syeikh Muhammad Izzat dan ramai lagi ulama-ulama besar Al-Azhar As Syarif.
Sayyid Abdul Aziz banyak mengambil faedah daripada guru-guru beliau melalui pembacaan kitab yang masyhur di Al-Azhar seperti  kitab-kitab Fiqh Syafie, kitab Alfiah Hadis dengan Syarah Al-‘Iroqi, kitab Syarah Jamul Jawami’ dalam ilmu Usul oleh kakandanya sendiri Al-Muhaddis Sayyid Abdullah. Di samping itu beliau juga banyak menghabiskan masa untuk berdamping dengan kakanda sulungnya Al-Hafiz Al-Mujtahid As-Sayyid  Ahmad untuk menyelami ilmu hadis.
Setelah menghabiskan masanya selama 12 tahun di Mesir, beliau telah kembali ke tanah airnya kota Tonjah, Maghribi dengan persediaan yang rapi dari sudut keilmuan dan kerohanian untuk menabur bukti buat para penuntut ilmu dan masyarakat di sana. Di samping sibuk berkhidmat menyampaikan ilmu dalam majlis-majlis yang diadakan di Zawiyah Siddiqiah, beliau juga bergiat aktif dalam penyebaran ilmu melalui pengarangan kitab-kitab.
Antara para talamiz (murid-murid) beliau yang banyak mengambil manfaat ilmiah daripada beliau adalah anak-anak beliau sendiri yang terdiri daripada Sayyid Abdul Mun’im, Sayyid Abdul Mughis dan Sayyid Ibrahim. Selain anak-anak beliau sendiri, ilmu Sayyid Abdul Aziz juga diwarisi oleh anak-anak murid beliau yang hampir seperti Al Muhaddis As Syeikh Mahmud Sai’d Muhammad Mamduh Al Misriy dan Syeikh Hasan Saqaf.
Beberapa tahun sebelum tarikh kewafatannya beliau telah ditimpa penyakit sehingga menyebabkan beliau terpaksa menghabiskan masanya di rumah sehinggalah beliau dijemput kembali ke pangkuan Ilahi pada hari Khamis bersamaan 6 Rejab tahun 1417 hijrah. Beliau dikebumikan di Zawiyah Siddiqiah bersebelahan dengan pusara ayahandanya yang tercinta.

Al Allamah As Syeikh As Sayyid Abdullah At Talidi
Beliau adalah Al Allamah Abu Muhammad wa Abul Futuh Abdullah bin Abdul Qodir bin Muhammad At Talidi dilahirkan pada hari Sabtu 15 Sya’ban tahun 1347 hijrah di dalam sebuah keluarga yang bersambung nasabnya kepada Sayyid Abdullah bin Al Mawla Idris bin Sayyid Idris Fatihul Maghrib bin Sayyid Abdullah Al Kamil bin Sayyid Hasan Al Muthanna bin Sayyiduna Hasan As Sibt bin Sayyiduna Al Imam Ali bin Abi Tolib alaihimus salam.
Beliau dibesarkan sejak kecil di sebuah kawasan perkampungan yang bernama As Saff daripada Qobilah Bani Jafrth, Tuthwan sehinggalah kemudiannya beliau berhijrah bersama-sama ayahandanya dan seluruh keluarga ke Kota Tonjah ketika usia beliau belum lagi menjangkau 10 tahun.
Beliau mula menghafal Al Quran daripada gurunya Syeikh Sayyid Abdus Salam As Syaqqaq sejak beliau belum lagi mencapai had baligh. Beliau kemudiannya mengkhatamkan Al Quran daripada sejumlah besar para Qurro’ dan mula menuntut ilmu daripada para ulama’ yang masyhur di majlis-majlis ilmu yang diadakan di masjid-masjid sekitar Kota Tonjah selama 2 tahun.
Antara para masyayikh beliau adalah Al Hafiz Sayyid Ahmad bin Muhammad Al Ghumari (Sayyid Ahmad merupakan guru beliau yang paling banyak beliau mengambil ilmu dan fawaid kerana bermulazamah dengan Sayyid Ahmad untuk tempoh masa yang lama), Al Muhaddis Abdul Aziz bin Muhammad Al Ghumari, Al Allamah Sayyid Abdul Hayy bin Muhammad Al Ghumari, Al Allamah Muhammad Az Zamzami bin Muhammad Al Ghumari, Al Allamah Sayyid Al Hasan  Al Lumtuni, Al Allamah Sayyid Muhammad As Sahiliy, Al Allamah Al Hajj Abdullah bin Abdus Sodiq, As Sayyid Abdul Hafiz Kanun, Al Allamah Sayyid Ahmad Bu Husain, Al Allamah Sayyid Abdullah Kanun,  Sayyid Muhammad Al Muntasir Al Kittani dan ramai lagi masyayikh beliau yang terdiri daripada ulama’ yang masyhur di dalam dunia ilmu Islam.



Sheikh Abdul Aziz dan Syeikh Yassin AlFadani     

Antara kitab-kitab hasil karangan beliau adalah As Sorimul Mubid, Qomu’l Aghbiya’ bi Istihbab Syaddir Rihal li Ziaratil Awliya’, Asbabu Halakil Umam, Min Ajaa’ibil Aqdamin, Al Wazifah An Nabawiyyah, Al Mubasyyaruna bil Jannah, Al Mar’ah Al Mutabarrijah wa Atharuha As Sayyi’ fil Mujtama’, Tahzib Khosois An Nabawiyyah dan banyak lagi hasil karangan beliau.
MUALLAFAT (HASIL PENULISAN) BELIAU
Kehebatan dan keunggulan Al Hafiz Sayyid Ahmad dalam menyampaikan ilmu disaksikan oleh ramai dalam kalangan ilmuan Islam pada ketika itu. Kejuhudan beliau dalam mengorbankan diri menyampaikan ilmu untuk kepentingan ummah dapat dilihat oleh setiap insan yang meneliti sirah kehidupan beliau. Dalam pada kesibukan dan kepadatan masa beliau untuk menyampaikan ilmu dan melahirkan barisan ilmuan, beliau masih lagi mampu menghasilkan ratusan karya-karya ilmiah dari segenap disiplin ilmu Islam seperti Ilmu Usuluddin, Ulumul Quran, Ulumul Hadith, Fiqh wa Usuluhu, Tasawwuf dan sebagainya. Hasil karya ilmiah beliau mendapat pandangan yang tinggi dan mendapat pujian yang hebat daripada ramai ilmuan Islam tatkala itu bahkan sebahagian besar hasil penulisan beliau telah dicetak dan tersebar di segenap dunia Islam.
Muallafat Beliau Dalam Bidang Aqidah
الائتساء في إثبات نبوة النساء
إعلام الأذكياء بنبوة خالد بن سنان بعد المسيح و قبل خاتم الأنبياء
الإفضال و المنة برؤية النساء لله تعالى في الجنة
Muallafat Beliau Dalam Bidang Tafsir
الإقليد لتنزيل كتاب الله تعالى على أهل التقليد



Muallafat Beliau Dalam Bidang Naqdul Hadis
إبراز الوهم المكنون من كلام ابن خلدون
الاستعاذة و الحسبلة ممن صحح حديث البسملة
تبيين المبدأ بتواتر حديث (بدأ الدين غريبا و سيعود كما بدأ)
سبل الهدى في إبطال حديث (اعمل لدنياك كأنك تعيش أبدا)
المداوي لعلل الجامع الصغير و شرحي المناوي
فتح الملك العلي بصحة حديث (باب مدينة العلم علي)
Muallafat Beliau Dalam Bidang Fiqhul Hadith
المثنوني و البتار في نحر العنيد المعثار الطاعن فيما صح من السنن و الآثار
تخريج الدلائل لما في رسالة القيرواني من الفروع و المسائل
مسالك الدلالة على مسائل الرسالة
الأحادث المسطورة في القراءة في الصلاة ببعض السورة
الاستعاضة بحديث وضوء الاستحاضة
Muallafat Beliau Dalam Bidang  Turuqul Hadith
إرشاد المربعين إلى طرق حديث الأربعين
الإشراف على طريق الأربعين المسلسلة بالأشراف
البيان والتفصيل لوصل ما في الموطأ من البلاغات و المراسيل
دفع الرجز بطرق حديث أكرموا الخبز
المناولة بطرق حديث المطاولة
مسامرة النديم بطرق حديث دباغ الأديم
Muallafat Beliau Dalam Bidang Takhrijul Hadith
تخريج أحاديث الشفا
حصول التفريج بأصول التخريج
فتح الوهاب بتخريج أحاديث الشهاب أو منية الطلاب بتخريج أحاديث الشهاب
نيل الزلفة بتخريج أحاديث التحفة
الهداية في تخريج أحاديث البداية
عواطف اللطائف بتخريج أحاديث عوارف المعارف أو غنية العارف بتخريج أحاديث عوارف المعارف
Muallafat Beliau Dalam Bidang Mutun Hadithiah dan Syuruhnya
أزهار الروضتين في من يؤتى أجره مرتين
بلوغ الآمال في فضائل الأعمال
تنوير الحلبوب في مكفرات الذنوب
التقييد النافع لمن يطالع الجامع
رياض التنزيه في فضل القرآن و حامليه
شوارق الأنوار المنيفة بظهور النواجذ الشريفة
التذكار في أفضل الأذكار
المنتقى من مكارم الأخلاق لابن أبي الدنيا
Muallafat Beliau Dalam Bidang Imla’ Hadith
الأمالي الحسينية
الأمالي المستظرفة على الرسالة المستطرفة في أسماء الكتب المشرقة
Muallafat Beliau Dalam Bidang At Tartib Wal Ikhtisor
ترتيب مسند الإمام أحمد بن حنبل
تسهيل سبل المحتذي بتهذيب و ترتيب سنن الترمذي
مسند مجالسة
مفتاح الترتيب لأحاديث تاريخ الخطيب
مفتاح المعجم الصغير للطبراني
الميزانيات وهي الأحاديث التي أسندها الذهبي في ميزان الاعتدال





Hasil Penulisan: Sahabat Saya Umar Azlan & Muhammad Hafizi

No comments:

Post a Comment